PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan mengesahkan bahawa setakat ini tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam kejadian letupan Gunung Marapi di Wilayah Sumatera Barat, Indonesia.

Gunung Marapi meletus pada 3 Disember lalu dan telah menyebabkan hujan abu tebal tersebar sejauh tiga kilometer.

Bencana alam itu juga mengakibatkan kehilangan 23 nyawa dan kerosakan harta benda di kawasan berhampiran.

Susulan itu, Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan Indonesia serta keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra menyeru sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan seperti maklumat di bawah:

Konsulat Jeneral Malaysia di Medan
Alamat : Jalan P. Diponegoro No. 43, Medan 20152
Sumatera Utara, Republik Indonesia
No. Telefon : +62 61 4531342
+62 61 4523992
Emel : [email protected]